Demo

Perutusan 2013

 

KETUA PESURUHJAYA PERSATUAN PANDU PUTERI MALAYSIA

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh

Salam Pandu Puteri dan Salam 1 Malaysia

Terlebih dahulu saya ucapkan Selamat menyambut Hari Peringatan Sedunia kepada semua ahli Persatuan Pandu Puteri Malaysia tidak kira dimana saudari berada.

Izinkan saya merenung kembali peristiwa bagaimana wujudnya Sambutan Hari Peringatan Sedunia yang disambut di seantero dunia pada hari ini. Hari yang istimewa ini diterima sebagai hari penting dan perlu disambut pada tanggal 22 Februari mulai tahun 1926. Hari ini dipilih dan diterima sebagai Hari Peringatan pada mulanya kerana secara kebetulan tanggal ini merupakan tarikh lahir kedua-dua Sir Robert Louis Stevenson Baden-Powell, pengasas kepada kedua-dua pergerakan Pengakap dan Pandu Puteri dan isterinya Lady Olave Baden-Powell, Ketua Pandu Puteri Dunia atau World Chief Guide.

Pada tahun 1999, semasa Persidangan Dunia ke 30 di Dublin, Ireland tarikh yang keramat ini disambut sebagai Hari Peringatan Sedunia hinggalah ke hari ini dengan tema yang berbeza-beza. Tema yang ditetapkan oleh badan dunia Persatuan Pandu Puteri dan Pengakap Puteri Sedunia atau WAGGGS bagi tahun 2013 ini berbunyi BERSAMA KITA BOLEH MENYELAMATKAN NYAWA KANAK-KANAK DAN KEHIDUPAN DAN KESIHATAN SETIAP IBU SANGAT BERHARGA (together we can save childrens lives and every mothers life and health is precious).

Oleh itu, sambutan Hari Peringatan Sedunia kali ini harus memberi tumpuan kepada aktiviti-aktiviti yang berkisar di sekitar tema yang ditetapkan, baik untuk kanak-kanak mau pun untuk ibu-ibu. Dalam erti yang lebih luas semua ahli Persatuan Pandu Puteri Malaysia yang terdiri daripada gadis dan wanita perlu diberi tumpuan dari segi kehidupan dan kesihatan mereka. Ahli-ahli remaja Persatuan Pandu Puteri Malaysia akan menjadi ibu. Oleh itu dari muda lagi mereka perlu diberi perhatian dari segi kesihatan mereka kerana ia ada kaitannya dengan menjaga keselamatan nyawa kanak-kanak. Hanya dengan aktiviti-aktiviti yang berfokus kepada tema tersebut, kita boleh memberi kesedaran kepada ahli-ahli muda untuk menjaga kesihatan mereka yang dianggap sebagai perkara yang terpenting bagi pergerakan sedunia kita (WAGGGS).

Sebagai sebuah organisasi wanita terunggul di peringkat antarabangsa, kita di Malaysia juga boleh memainkan peranan dalam menanam dan menegakkan nilai-nilai murni yang sejagat bagi merealisasikan tema Hari Peringatan Sedunia tahun ini. Kita mesti sepakat dan sekata dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti agar segala apa yang dirancangkan dapat dilaksanakan dengan sempurna.

Marilah kita sama-sama memberi sumbangan kepada tabung Hari Peringatan Sedunia, walau pun sedikit. Mengikut prinsipnya sumbangan perlulah secara ikhlas dan nilainya (tidak kira berapa jumlahnya) adalah mengikut bilangan tahun kita menjadi ahli. Sumbangan kita nanti boleh membantu pula ahli-ahli yang memerlukannya. Oleh itu selaku ahli Persatuan Pandu Puteri Malaysia dan sekali gus ahli kepada gabungan yang lebih besar ia itu, Persatuan Pandu Puteri dan Pengakap Puteri Sedunia marilah kita sama-sama memberi sumbangan kepada tabung Hari Peringatan Sedunia. Wang yang terkumpul akan dihantar ke WAGGGS dan digunakan untuk membangunkan kegiatan Pandu Puteri ditempat yang belum ada kegiatan Pandu Puteri dan juga digunakan untuk membantu projek yang ada hubungannya dengan tema tahun ini. Negara-negara yang terpilih untuk menerima bantuan bagi tahun 2013 adalah Ireland, Jordan, Malawi, Pakistan dan Venezuela.

Setiap tahun dalam dunia ini, 7.6 juta kanak-kanak dan 287,000 ibu meninggal kerana tidak mengetahui langkah-langkah pencegahan untuk mengelakkan diri dari bermacam-macam penyakit atau kemiskinan.

Diharapkan Persatuan Pandu Puteri Malaysia akan menganjurkan projek-projek mengenai kesedaran tentang isu ini baik untuk pemimpin mahu pun untuk ahli-ahli Pandu Puteri Remaja dan Pandu Puteri Renjer.

Dengan itu, sekali lagi saya mengucapkan Selamat Menyambut Hari Peringatan Sedunia.

Sekian, Salam Pandu Puteri

Datin Seri Hajah Zalillah Bte Mohd Taib