Demo

Anugerah Srikandi 2006

Biodata Penerima Anugerah Sri Kandi Persatuan Pandu Puteri Malaysia 2006

Y.M. Tunku Dato' Hajjah Fatimah Binti Tunku Sulaiman

Y.M. Tunku Dato  Hajjah Fatimah Binti Tunku Sulaiman telah dilahirkan di Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada 20 Januari 1925, dan mendapat pendidikan di Sekolah Melayu Kuala Pilah, seterusnya melanjutkan pelajaran ke Sekolah Inggeris Tuanku Mohammad, Kuala Pilah.

Pada tahun 1943, Y.M. Tunku Dato Hjh Fatimah telah mendirikan rumah tangga dengan Y.M. Tunku Mohamad Jamil Bin Almarhum Y.T. Mulia Tunku Besar Burhanuddin.

Y.M. Tunku telah menceburkan diri dalam masyarakat setempat yang berbilang kaum, di mana jua beliau berada. Oleh kerana minat dan ingin berkhidmat secara sukarela kepada masyarakat, Y.M. Tunku menceburkan diri secara aktif dalam kerja-kerja sukarela dan kebajikan serta menyumbangkan khidmat bakti kepada masyarakat sehingga kini. Antara penglibatan Y.M. Tunku ialah:

  • Ahli Perkumpulan Perempuan (W.I.) Daerah Kuala Pilah (1953)
  • Pengerusi Perkumpulan Perempuan (W.I.) Daerah Kuala Pilah (1956 - 1958)
  • Pengerusi Perkumpulan Perempuan (W.I.) Daerah Jelebu (1959)
  • Ahli Lembaga Pelawat Hospital Daerah Jelebu
  • Ahli Lembaga Pengurus Government English School (S.R.U. sekarang) Daerah Jelebu
  • Menubuhkan Perkumpulan Perempuan (W.I.) Gedung Lalang (1964) Pengerusi Perayaan Hari Pahlawan Negeri Sembilan (1968)
  • Naib Pengerusi Bola Sepak Wanita Negeri Sembilan (1970)
  • Pengerusi F.O.S.A.H. (Friends of the Sick and Hospital) (1970)
  • Ahli Lembaga Rumah Orang-Orang Tua dan Penasihat Kanak-Kanak Daerah Seremban (1970-1973)
  • Ahli Lembaga Pelawat Taman Sinar Harapan Tuanku Ampuan Najihah (1981-1988)
  • Ahli Jawatankuasa Kanak-Kanak Cacat Daerah Seremban (1974-1988)
  • Pengerusi Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia Perhubungan Negeri Sembilan (2000 hingga sekarang)

Pada tahun 1999, Y.M. Tunku telah mengadakan acara Charity Golf untuk menjana dana Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Negeri Sembilan dan berjaya mendapat kutipan sebanyak RM 300,000.

Atas jasanya kepada masyarakat, Y.M. Tunku Dato Fatimah telah dikurniakan Bintang-Bintang Kebesaran dan Pingat-Pingat oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan iaitu Pingat D.P.T.J., D.S.N., P.P.T., P.M.C. dan P.J.K.

Y.M. Tunku telah dikurniakan Pingat A.M.N. oleh Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong . Pada tahun 1988, Y.M. Tunku telah menerima anugerah Tokoh Wanita sempena perayaan Hari Wanita Peringkat Negeri Sembilan.


Y.Bhg Toh Puan Rahimah Stephens

Y. Bhg. Toh Puan Rahimah Stephens dilahirkan di Beaufort, Sabah pada 22 Oktober 1930. Toh Puan Rahmah adalah isteri kepada Allayarham Tun Fuad Stephens, Tuan Yang Terutama Yang Di Pertua Negeri Sabah yang pertama. Mereka telah dikurniakan dengan empat orang cahaya mata yang berjaya dalam bidang masing-masing.

Toh Puan Rahimah terlibat dalam Pandu Puteri sejak usia muda. Beliau pernah menjadi ahli Pandu Puteri Tunas, Pandu Puteri Remaja dan Pandu Puteri Renjer semasa di bangku sekolah. Pada tahun 1951, Toh Puan Rahimah memimpin pasukan Pandu Puteri Tunas sebagai Kakak Setia di Jesselton (sekarang dikenali sebagai Kota Kinabalu). Beliau juga pernah menjadi ahli Majlis Negeri dari 1959 hingga akhir tahun 60-an. Pada tahun 1974, iaitu semasa suami beliau dilantik sebagai Tuan Yang Terutama Yang Di Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Rahimah telah dilantik sebagai Penaung Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Sabah.

Sepanjang penglibatan dalam Pandu Puteri, Toh Puan Rahimah telah memberi banyak bantuan dan sokongan moral kepada Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Sabah. Pada tahun 2000, Toh Puan Rahimah membantu dalam jualan meja untuk satu majlis di Hotel Magellan Sutera bagi menjana dana Persatuan sempena Ulang Tahun Ke-80 Pandu Puteri di Sabah. Beliau juga terlibat dengan persediaan dan perundingan dengan pihak Hotel Le Meridien, Kota Kinabalu untuk menjayakan Persidangan Pesuruhjaya dan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pandu Puteri Malaysia pada Jun 2006.

Selain penglibatan dalam Pandu Puteri, Toh Puan Rahimah juga aktif dalam persatuan lain seperti Sabah Anti Tuberculosis Association (SABATA), Persatuan Bulan Sabit Merah, Inner Wheel Club, National Stokees Association, Cawangan Sabah (NASAM), dan Senior Citizen Association. Beliau juga merupakan pengasas Sabah Heart Fund (SOS).

Toh Puan Rahimah terlibat secara aktif dalam politik sejak 1961. Beliau pernah menjadi Ketua Wanita Parti UNKO (kemudian dinamakan UPKO) yang ditubuhkan oleh suami beliau, Allahyarham Tun Fuad Stephens. Beliau juga pernah memegang jawatan Ketua Wanita Parti Berjaya dan menjadi Wakil Rakyat Kawasan Kiulu. Pada 17 Julai 1976, beliau dilantik sebagai Menteri Kebajikan dalam Kerajaan Negeri Sabah. Beliau merupakan wanita pertama yang dilantik sebagai Menteri dalam Kerajaan Negeri Sabah.

Sumbangan Toh Puan Rahimah kepada masyarakat telah mendapat pengiktirafan oleh pelbagai pihak. Beliau menerima Anugerah P.G.D.K. yang membawa gelaran Datuk pada tahun 1971 dan Anugerah S.P.D.K. yang membawa gelaran Datuk Panglima pada tahun 1982. Pada tahun 1985, beliau dianugerahkan Tun Fatimah Gold Award oleh NCWO. Toh Puan Rahimah menerima anugerah  Tokoh Wanita sempena Hari Wanita 2003 pada 19 Oktober 2003.


Yang Hormat Dato' Nik Faizah Mustapha

Yang Hormat Dato Nik Faizah Mustapha memulakan kariernya sebagai Guru Siswazah di Sekolah Menengah Zainab, Kota Bharu, Kelantan pada tahun 1966. Sepanjang tempoh 31 tahun perkhidmatan beliau di Kementerian Pelajaran Malaysia, beliau pernah berkhidmat sebagai Pengetua di Sekolah Menengah Kebangsaan Kampung Baru, Kuala Lumpur (1972-1975), di Pusat Perkembangan Kurikulum (1975-1987), Timbalan Pengarah II Lembaga Peperiksaan (1987-1990), Pengetua Maktab Perguruan Ilmu Khas (1990-1993), Timbalan Pengarah I Bahagian Pendidikan Guru (1993) dan Ketua Nazir Sekolah, Jemaah Nazir Malaysia (1993-1997).

Selepas beliau bersara wajib pada tahun 1997, beliau dilantik sebagai Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) di bawah Jabatan Perdana Menteri, dan berkhidmat selama lima tahun hingga tahun 2002. Kini, Dato Nik Faizah berkhidmat di Ibu Pejabat Kebangsaan Persatuan Pandu Puteri Malaysia sebagai Pengurus Pandu Puteri.

Dato Nik Faizah mula terlibat dalam Pandu Puteri sebagai ahli Pandu Puteri (1922-1957) dan ahli Kadet (1958-1959) di Malay Girls College, Kuala Lumpur. Pada tahun 1960, beliau mewakili Persatuan Pandu Puteri Malaysia di Seminar Juliette Low di Our Chalet, Switzerland.

Beliau pernah menjadi Pemimpin Pasukan di Sekolah Aminuddin Baki Kuala Lumpur dan SMK Kg Baru Kuala Lumpur dari tahun 1966 hingga 1972. Dato Nik Faizah pernah berkhidmat sebagai Pesuruhjaya Ibu Pejabat Bahagian Pandu Puteri di peringkat kebangsaan sebanyak dua kali iaitu dari tahun 1972 hingga 1978 dan 1980 hingga 1983. Beliau telah mewakili Persatuan Pandu Puteri Malaysia untuk menghadiri Persidangan Dunia Persatuan Pandu Puteri dan Pengakap Puteri Sedunia (WAGGGS) di Iran pada Julai 1978.

Pada tahun 1983, Dato Nik Faizah Mustapha dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya Persatuan Pandu Puteri Malaysia dan berkhidmat selama 10 tahun hingga tahun 1993. Dalam tempoh itu, Dato Nik Faizah dilantik sebagai ahli Jawatankuasa Rantau Asia Pasifik, WAGGGS pada tahun 1984 hingga 1987 dan seterusnya sebagai Pengerusi jawatankuasa yang sama pada tahun 1987 hingga 1990.

Beliau kembali berkhidmat dengan Persatuan Pandu Puteri Malaysia sebagai Pesuruhjaya Ibu Pejabat Bahagian Latihan dan Perkembangan pada tahun 1993 hingga sekarang. Dalam pada itu, beliau merupakan Pengurus Pandu Puteri di Ibu Pejabat Kebangsaan dari tahun 1997 hingga sekarang. Beliau juga merupakan Penyelaras Utama Program Signatur Antarabangsa, satu projek antarabangsa yang berlangsung dari tahun 2004 hingga 2006.

Antara sumbangan Yang Hormat Dato Nik Faizah Mustapha kepada Persatuan Pandu Puteri Malaysia ialah memimpin ahli remaja di peringkat sekolah, merancang dan melaksanakan program dan aktiviti Pandu Puteri di peringkat kebangsaan, memurnikan Perlembagaan Persatuan Pandu Puteri Malaysia yang diwarisi sejak tahun 1957, dan menyusun dan memurnikan Skim Latihan Persatuan Pandu Puteri Malaysia untuk dinilai dan diiktirafkan oleh WAGGGS agar digunakan di dalam Persatuan Pandu Puteri Malaysia.

Semasa beliau memegang jawatan Ketua Pesuruhjaya Persatuan Pandu Puteri Malaysia, beliau telah memberi tumpuan kepada peningkatan pencapaian ilmu di kalangan pemimpin dewasa menerusi pelbagai kursus dan latihan; penggubalan dan pengeluaran buku dan bahan Pandu Puteri; mendapatkan penaja dan penderma untuk menampung pembinaan bangunan Ibu Pejabat Kebangsaan dan menggalakkan sumbangan fikiran dan khidmat sukarela Pemimpin dan Pesuruhjaya agar mereka sama-sama terlibat dalam perkembangan dan peningkatan Persatuan Pandu Puteri Malaysia.

Yang Hormat Dato Nik Faizah menerima Anugerah Tokoh Guru dari Kementerian Pelajaran Malaysia pada tahun 2000 sempena Hari Guru 2000 dan Anugerah Tokoh Belia Berjasa (Wanita) dari Kementerian Belia dan Sukan pada tahun 2005 sempena Hari Belia Negara 2005.

Pada 28 Oktober 2006, beliau telah dikurniakan Darjah Kebesaran Mahkota Pahang Yang Amat Mulia - Peringkat Kedua Darjah Indera Mahkota Pahang (D.I.M.P) yang membawa gelaran Yang Hormat Dato oleh KDYMM Sultan Pahang.