Demo

Anugerah Srikandi 2004

Biodata Penerima Anugerah Sri Kandi Persatuan Pandu Puteri Malaysia 2004

Y.T.M. Dato Tunku Mukminah bte Y.T.M. Tunku Mohd. Jiwa

Tunku Mukminah merupakan seorang sukarelawan yang dilahirkan pada 26 Januari 1933 di Alor Setar, Kedah. Cucunda kepada Sultan Abdul Hamid Halim Shah dan anak saudara kepada Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia yang pertama, beliau menerima pendidikan asas di Sekolah Melayu Seberang dan diikuti di St. Nicholas Convent. Beliau adalah anak keempat dari sepuluh orang adik beradik dan dikahwinkan pada usia yang sangat muda oleh ayahanda beliau Almarhum Tunku Mohd. Jiwa.

Penyertaan Tunku Mukminah dalam kerja sukarela bermula pada usia yang muda bila beliau mengiringi ibu saudara beliau melawat rumah-rumah sakit dan rumah-rumah kebajikan serta memberi keselesaan kepada pesakit-pesakit dan orang-orang miskin.

Setelah merdeka, ayahanda saudara beliau Tunku Abdul Rahman memperakukan agar beliau bertugas di Womens Institude ( WI ). Pada tahun 1958 beliau terpilih untuk menghadiri kursus selama 9 bulan di United Kingdom. Pada Jun 1958 beliau dijemput memberi ceramah di Royal Albert Hall mengenai pergerakan wanita di Malaya dan seterusnya ditemuramah oleh BBC.

Setelah kembali dari United Kingdom, beliau diberi tugas untuk menyusun pergerakkan wanita melalui WI di negeri-negeri Kedah, Perlis dan Pulau Pinang hinggalah ke tahun 1963. Di akhir tahun yang sama beliau dipindahkan ke Kuala Lumpur dan terus memperkembangkan aktiviti beliau ke Negeri Sembilan dan Melaka di mana beliau mengajar wanita memasak dan menjahit. Dengan kerjasama Jabatan Perancang Keluarga beliau memberi ceramah kepada wanita-wanita luar bandar. Beliau juga membantu Jabatan Penerangan dengan memberi kursus-kursus kepada wanita-wanita dalam ilmu tata rakyat, hinggalah ke tahun 1974.

Sejak tahun 1974, Tunku Mukminah mula bergerak dalam Persatuan Pandu Puteri Malaysia. Selain menjadi ahli Jawatankuasa Kerja Kebangsaan, beliau juga dilantik menjadi ahli di dalam beberapa Jawatankuasa Kecil di ibu pejabat Persatuan Pandu Puteri Malaysia, khususnya jawatankuasa yang terlibat dengan mencari dana untuk Persatuan Pandu Puteri Malaysia.Melalui perkenalan beliau yang begitu luas, beliau telah berjaya mendapatkanbanyak derma untuk Persatuan Pandu Puteri Malaysia.

Sebagai ahli jawatankuasa Trefoil Guild dan kemudian menjadi pengerusinya, beliau telah menghadiri beberapa perjumpaan di luar negara seperti Asia Pacific Conference di Poona, India pada tahun 1982, ISGF 11th Asia Pacific Regional Conference di Napier, New Zealand tahun 2000 dan ISGF 23rd World Conference di Vancouver,Canada tahun 2002.

Selain dari penglibatan beliau di dalam Persatuan Pandu Puteri Malaysia, beliau turut memegang jawatan-jawatan penting di dalam persatuan-persatuan sukarela yang lain seperti Sahabat Pusat Perubatan Universiti Malaya dan PERKIM.

Pada tahun 1968 beliau dianugerahkan pingat PJK oleh DYYM Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan dan pada 9 Januari 2003 beliau menerima anugerah Dato  Setia Di Raja Kedah yang membawa gelaran Dato daripada DYMM Sultan Kedah.

Meskipun beliau menjadi ibu tunggal selama 23 tahun ( suami kesayangan beliau meninggal dunia) tetapi dalam kesibukan beliau menabur jasa kepada masyarakat dan negara, beliau berjaya membesarkan 3 orang anak serta di kelilingi oleh 9 orang cucu.

Y.T.M. Tunku Mukminah tidak mensia-siakan masa yang diberi oleh Allah S.W.T kerana beliau terus memberi sumbangan kepada masyarakat, negara dan sesiapa saja yang memerlukannya.


Puan Hasnah Saad

Puan Hasnah Saad dilahirkan pada 27 Februari 1939 di Kangar, Perlis. Kini telah menjangkau usia 65 tahun. Anak kepada pasangan Encik Saad bin Abdul Rahman dan Puan Ijah bt Che Man ini, merupakan anak kedua daripada lapan orang adik beradik yang terdiri daripada 3 perempuan dan lima lelaki.

Puan Hasnah memulakan alam persekolahan di Sekolah Perempuan ,Kangar pada tahun 1945 1948 sehingga darjah empat. Seterusnya beliau menyambung persekolahannya di Derma English School, Kangar sehingga memperolehi kelulusan SMC 1. Pada tahun 1950 beliau ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran ke Malay Girls College (TKC), Kuala Lumpur sehingga tamat tingkatan 5. Seterusnya beliau menyambung pengajian di tingkatan enam di Sultan Abdul Hamid College, Alor Star. Keputusan yang cemerlang dalam H.S.C pada tahun 1958 melayakkan beliau untuk meneruskan pengajian di MTC Abrimsford Lodge England pada tahun 1959 1960 dengan mengkhusus dalam bidang geografi, matematik dan Pendidikan Jasmani. Beliau menamatkan pengajian pada tahun 1960 dan berjaya memperolehi Diploma Education. Pada tahun 1969 Puan Hasnah telah meyambung pengajian di Universiti Malaya, Kuala Lumpur dan berjaya memperolehi Ijazah Sarjana Muda pada tahun 1972.

Sebelum kembali ke tanah air, Puan Hasnah telah memulakan tugasnya sebagai pendidik di Secondary Modern School (Sek Vocational & Tchnical) di Stafford selama 2 minggu. Seterusnya di Marclessfidd Grammar School for girl di Marrlessfield, Manchester selama 1 bulan dan di Cheshire Grammar School for Girl selama 1 bulan. Setelah kembali ke tanah air beliau memulakan khidmat beliau sebagai pendidik di Sekolah Menengah Ibrahim, Pasir Mas, Kelantan pada tahun 1961. Sepanjang berkhidmat sebagai pendidik beliau telah mengajar di lapan buah sekolah, antaranya SM Ibrahim, Pasir Mas(1961) , SM Kamil, Pasir Putih,(1962 1964) SM Arau, Perlis,91964) SM Abdul Samad, PJ, (1965-1966) SM Ungku Aziz, Sabak Bernam,(1967) SM Aminuddin Baki, Kuala Lumpur(1967- 1975) dan SM Sultan Abdul Samad, Petaling Jaya.(1976 Feb 1991). Beliau telah menamatkan khidmat baktinya sebagai pendidik pada 1 Mac 1991, setelah bergelumang dan menabur jasa bakti dalam bidang pendidikan selama 30 tahun.

Puan Hasnah , seorang yang aktif dalam bidang kokurikulum. Sewaktu menuntut di Brimsford Lodge, beliau diberi kepercayaan mengetuai Pasukan Netball dan turut terpilih untuk menyertai pasukan hoki kolej . Beliau juga turut mengikuti beberapa kursus luar kampus antaranya Latihan Berkayak di Plymouth pada Agos 1959 iaitu Cabaran kembara sepanjang 4 batu di laut. Pada tahun 1960 beliau telah mengikuti Latihan Pengadilan Netball di Sekolah, P.J di Lillishall. Pada April 1959 beliau telah mengikuti British Concil Course For Foreingn Student di Universiti St Andrew, Scotland.

Puan Hasnah mula melibatkan diri dalam pergerakan Pandu Puteri pada November 1951 sewaktu menuntut di Malay Girls College, Kuala Lumpur. Sepanjang dalam pergerakan Pandu Puteri, beliau menunjukkan minat dan kesungguhan yang amat mendalam. Beliau sentiasa mengambil bahagian yang aktif dalam aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh Pandu Puteri. Pada tahun 1952 beliau lulus kelas dua. Pada tahun 1953 beliau telah dipilih untuk mengikuti perkhemahan di Castle Camp dan Lulus Kelas Satu dalam acara Renang. Kesungguhan dan komitmen yang ditunjukkan menyebabkan beliau diberi tanggunjawab untuk mengetuai Pasukan KL 14 GG. Pada tahun 1955 beliau bersama-sama dengan Pasukan kadet K.L 1 telah mengambil inisiatif membersih kawasan padang bangunan Pondok Pandu Puteri yang pertama di Brickfield. Pada tahun ini juga beliau turut mengambil bahagian dalam perasmian The Guide Hut yang dirasmikan oleh DYMM Tengku Ampuan Selangor, iaitu Tengku Jamiah. Beliau turut mengambil bahagian dalam Perkhemahan Seminggu di Lake Garden pada tahun 1956 yang diadakan di perkarangan rumah Miss A. Wilson (seorang guru) untuk Pasukan Kadet. Pemimpin Kadet Maru dari New Zealand. Pada tahun 1956 1958 beliau telah menyertaii Pasukan Renjer Sekolah Sultanah Asma, Alor Star di bawah pimpinan Che Chik Ismail.

Sewaktu menuntut di Brimsford Lodge beliau telah menyertai Pasukan Kadet Kolej tersebut dan dilatih untuk menjadi pemimpin oleh Miss M.C. Moris, Pada July 1959 beliau telah dipilih sebagai wakil dari Malaysia untuk mengikuti kursus Summer Camp For Young Leades di pusat latihan dunia Chalet di Aidelboder, Switzerland. Pada Julai 1960, beliau telah diberi kepercayaan untuk mewakili Malaysia ke World Jamborei 50 Tahun Pandu Puteri bagi U.K di Ceshley Abbey, Northhampton selama seminggu. Beliau juga telah lulus Compas First Aid dan Camp Permit dalam Ujian Camping and Quarter Master di Cannock Chase yang diadakan pada September 1960. Pada tahun ini juga beliau telah mengikuti latihan advance Training For Young Leaders di Princess Mary House Foxlease, England.

Setelah kembali ke tanah air dan bergelar pendidik, beliau telah meneruskan penglibatannya dalam Persatuan Pandu Puteri pada 1 Februari 1962 dengan memegang jawatan sebagai Kapten di SM Kamil, Pasir Puteh, Kelantan. Pada 1 Mei 1975 beliau telah diberi tanggung jawab sebagai Pesuruhjaya Ibu Pejabat Selangor dan pada 21 Mei 1985 beliau telah di lantik sebagai Pesuruhjaya Ibu Pejabat Persatuan Pandu Puteri Malaysia.

Kesibukan beliau sebagai pendidik tidak pernah menjadi penghalang untuk beliau menabur bakti dalam Persatuan Pandu Puteri. Sepanjang penglibatan beliau dalam persatuan ini pelbagai khidmat dan jasa bakti beliau, antaranya beliau pernah memegang tugas sebagai Pengurus Asrama Pandu Puteri (1985). Beliau juga diberi amanah sebagai Pengerusi Kutipan Derma Bangunan (1987  1997), Pengerusi Projek Bangunan Baru (1994 1996). Beliau memulakan program Pemimpin Muda (1) pada tahun (1997), melaksanakan Program Kesihatan (1) Senamrobik (1993), menjayakan Projek Peace Pack Sedunia (1994 1996). Pada tahun 2001 beliau telah menggerakkan Projek Kesihatan dan Kreativiti (2).

Atas jasa-jasa dan sumbangan beliau dalam bidang pendidikan dan penglibatan aktif beliau dalam Persatuan Pandu Puteri, beliau telah dianugerahkan dengan pelbagai pingat, antaranya Pingat Jasa (1989), Pingat Lebah (1993), Pingat Laying-layang (1999), Pingat Lapan Puluh Tahun Pandu Puteri (1997) dan Anugerah Ketua Pesuruhjaya (2001).

Berdasarkan rentetan perjalanan hidup dan penglibatan aktif serta sumbangan beliau dalam Persatuan Pandu Puteri yang melebihi setengah dekad adalah amat wajar ANUGERAH SRI KANDI Pandu Puteri 2004 dianugerahkan kepada Puan Hasnah Saad.


Puan Beh Suat Pheng ( Khoo Suat Pheng )

Puan Beh Suat Pheng mendapat pendidikan rendah dan menengah di Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Beliau dilantik sebagai Keptan sekolah pada tahun 1959. Beliau juga menerima Anugerah Pandu Puteri Raja daripada Ketua Pandu Puteri Sedunia, Lady Baden Powell pada tahun 1960 semasa Lady Baden Power melawat Malaysia. Suat Pheng adalah ahli yang aktif dan berminat serta sangat popular dan menjadi ketua yang berwibawa dalam Patrol Matahari di Pasukan Pandu Puteri ke 12, Kuala Lumpur.

Puan Beh pernah mengambil bahagian yang aktif dalam pelbagai perkhemahan, rally dan program-program Pandu Puteri baik di peringkat negeri mahupun di peringkat kebangsaan.Beliau juga adalah salah seorang peserta dalam rombongan Malaysia ke Kem Antarabangsa di Australia pada tahun 1958.

Walaupun beliau tidak berpeluang melanjutkan pelajaran di universiti, namun beliau telah berjaya dalam kerjayanya. Beliau bermula sebagai setiausaha di EMI Recording Company dan secara beransur-ansur telah meningkat ke jawatan Timbalan Pengarah Kanan di EMI Music, Asia Tenggara . Beliau seorang yang menghargai komitmen , inisiatif dan kemahiran pengurusan dalam pentadbiran beliau. Beliau telah menjadi Pengarah Pengurusan selama 17 tahun dan Timbalan Pengarah Kanan Syarikat EMI Music, Asia Tenggara selama 4 tahun. Beliau adalah pengasas dan Timbalan Pengarah Music Authors Copywrite Protection,Recording Industry of Malaysia dan Public Performance Malaysia.

Pada umur 31, beliau telah menjadi ibu tunggal. Namun beliau dapat mendidik ketiga-tiga anak perempuannya sehingga ke peringkat universiti. Beliau kini seorang nenek kepada 4 orang cucu.

Selepas berjaya dalam kariernya, beliau sekali lagi melibatkan diri dalam Pandu Puteri. Beliau berkhidmat dalam EXCO dan Bendahari Kehormat selama 3 tahun di Persatuan Pandu Puteri Negeri Selangor. Kemudian beliau dilantik sebagai Bendahari Kehormat dalam Persatuan Pandu Puteri Wilayah Persekutuan sehingga kini.

Puan Beh Suat Pheng telah banyak menolong persatuan dalam pentadbiran kewangan di perinkat negeri dan telah menjalannkan beberapa projek untuk menambah tabung persatuan. Suat Pheng telah meluangkan masa dan khidmat beliau tanpa mengira penat lelah dalam mempromosikan Persatuan Pandu Puteri sebagai pergerakkan unggul untuk gadis remaja.

Beliau adalah pandu puteri yang boleh menjadi role model untuk wanita. Beliau bukan sahaja berjaya dalam kerjayanya bahkan telah memberi khidmat sukarelanya kepada Persatuan Pandu Puteri.

Puan Beh Suat Pheng telah dianugerahkan pingat PJK oleh Kerajaan Negeri Selangor pada tahun 1978 dan Pingat Bintang Kehormat pada tahun1992 oleh Persatuan Pandu Puteri Malaysia. Di samping itu beliau juga adalah ahli Soroptormist Kuala Lumpur,iaitu satu persatuan wanita professional yang melibatkan diri dalam projek-projek kemasyarakatan.