Demo

Anugerah Srikandi 2002

Biodata Penerima Anugerah Sri Kandi Persatuan Pandu Puteri Malaysia 2002

Yang Amat Mulia Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah SPMJ, SPCM

Yang Amat Mulia Raja Zarith Sofia diputrikan pada 14 Ogos 1959 di Perak. Yang Amat Mulia adalah anakanda ketujuh dan puteri ketiga kepada Almarhum Sultan Idris Shah, Sultan Perak.

Yang Amat Mulia menerima pendidikan kindergarten dan pendidikan rendah di Perak. Semasa berusia 13 tahun Yang Amat Mulia berangkat ke England untuk melanjutkan pelajaran di Cheltenhem Ladies College, Gloucestershire. Yang Amat Mulia kemudiannya meneruskan pendidikan di Davies College. Pada tahun 1978 Yang Amat Mulia telah menduduki peperiksaan Oxbridge Entrance Examination. Yang Amat Mulia telah diterima masuk ke Somerville College, Oxford University pada tahun 1979 dan memulakan hidup sebagai seorang siswi hingga lulus dengan ijazah B.A (Hons) dalam Chinese Studies pada 1983.

Minat mendalam Yang Amat Mulia Raja Zarith Sofiah dalam bidang bahasa tiada batasan. Tidak hairanlah selain fasih dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Cina, Yang Amat Mulia juga boleh berbahasa Perancis dan Itali.

Yang Amat Mulia Raja Zarith Sofiah amat berbakat dalam bidang lukisan dan penulisan iaitu suatu aset yang diwarisi daripada Almarhum ayahandanya. Pada tahun 1995 Yang Amat Mulia telah mengarang dan mengilustrasi empat buah buku dalam Bahasa Malaysia. Pada tahun yang sama, sempena Majlis Anugerah Buku Kebangsaan yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, Yang Amat Mulia telah dianugerah Ilustrator Terbaik bagi kategori buku kanak-kanak. Kini, Yang Amat Mulia terus menulis di ruang akhbar The New Straits Times Malaysia, setiap dua minggu di bawah tajuk On Common Ground .

Yang Amat Mulia Raja Zarith Sofiah berkahwin dengan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor pada bulan September 1983 dan dikurniakan dengan lima orang putera dan seorang puteri. Dalam kesibukan tugas dan tanggungjawab sebagai isteri Yang Amat Mulia Tunku Mahkota dan ibu kepada enam putera dan puteri, Yang Amat Mulia Raja Zarith amat aktif dan sentiasa sedia mencurah tenaga dan masa dalam pertubuhan pertubuhan sukarela. Yang Amat Mulia adalah Penaung kepada Yayasan Kelab Rotary Tebrau, Johor Bahru, Naib Presiden Majlis Wanita Johor(MAWAR), dan Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Johor.


Dato Asiah Bt. Abu Samah

Dato Asiah dilahirkan pada 1 Mac 1937 di Parit, Perak. Beliau menerima ijazah B.A. Hons. Diploma Pendidikan pada tahun 1961 dari Universiti Malaya Singapore, Diploma In General Linguistics dari School of Oriental & African Studies University of London pada tahun 1965 dan Sarjana Pendidikan dari University Malaya Kuala Lumpur pada tahun 1978.

Beliau memulakan kerjaya sebagai guru pada tahun 1961, kemudian sebagai seorang pensyarah di Maktab Perguruan Bahasa, Kuala Lumpur pada tahun 1964 dan pada tahun 1996 dilantik sebagai Pengetua Kolej Tunku Kursiah, Seremban. Pada tahun 1970, Dato  Asiah mula bertugas di Kementerian Pendidikan sebagai Timbalan Pengarah Latihan Guru dan pada tahum 1973 sebagai Ketua Pegawai Penilai di Bahagian Perancangan dan Penyelididikan Pendidikan. Pada tahun 1974 apabila Kementerian Pendidikan menubuhkan Pusat Perkembangan Kurikulum(PPK) beliau dilantik menjadi pengarahnya yang pertama. Setelah bertugas selama 14 tahun di PPK beliau ditukarkan semula ke Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Pendidikan sebagai pengarah. Pada Januari 1990 Dato Aisiah dinaikkan pangkat kepada Timbalan Ketua Pengarah II dan pada Disember tahun yang sama dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah I. Kemuncak kerjaya beliau ialah apabila dipertanggungjawabkan memegang teraju perkhidmatan pendidikan negara sebagai Ketua Pengarah Pendidikan pada 27 November 1991 sehingga beliau bersara pada 28 Februari 1993.

Sepanjang perkhidmatan Dato Asiah dalam dunia pendidikan terlalu banyak sumbangan yang amat berharga dicurahkannya terutama dalam perkembangan kurikulum dan perancangan pendidikan khusus yang berkaitan dengan dasar pendidikan dan pembangunan negara. Beliau banyak menyumbang idea di persidangan-persidangan kebangsaan dan antarabangsa melalui kertas-kertas kerja dan penulisan. Penglibatan beliau dalam perkembangan Bahasa Malaysia amat terserlah sejak awal tahun 60an dan bersama dua orang rakan telah menghasilkan siri buku Kursus Bahasa Kebangsaan (1961) yang diguna sebagai buku teks Tingkatan 1 hingga Tingkatan V.

Kini setelah bersara Dato Asiah masih memikul pelbagai tanggungjawab antaranya Penasihat Korporat Land & General Bhd; Ahli Lembaga Pengarah Lang Education Sdn. Bhd. Dan L&G Twintech Sdn. Bhd.; Ahli Malaysia Strategic Research Council; Distinguished Isis Fellow Institute of Strategic and International Studies, Malaysia. 


Puan Saroja S. Param

Puan Saroja S.Param telah dilahirkan di India pada 20 Jun 1925. Beliau telah berhijrah ke Malaya mengikut keluarga dan mula mendapat pendidikan sekolah rendah di Sekolah Anglo Chinese Seremban dan pendidikan menengah di Sekolah Convent of the Holy Infant Jesus Seremban. Beliau memilih kerjaya sebagai seorang pendidik dengan mendapat kelulusan Latihan Normal. Beliau mula berkhidmat di Government English School, Port Dickson pada tahun 1946.

Puan Saroja Param mendirikan rumahtangga dengan Encik V.S. Param, yang juga seorang pendidik dan telah dikurniakan dengan enam orang cahaya mata. Berkat kegigihan dan ketekunannya mendidik di sekolah dan di rumah, anak-anak beliau berjaya ke pendidikan tinggi. Kini, anak-anaknya menjadi pensyarah, hakim, pegawai perubatan dan peguam.

Sebagai seorang yang berdedikasi dalam kerjayanya, beliau telah menjawat jawatan Penyelia Sekolah dan pada tahun 1980, beliau bersara ketika bertugas di Sekolah Menengah Sri Ampangan, Seremban.

Puan Saroja Param bergiat cergas dalam bidang kokurikulum, khasnya dalam Persatuan Pandu Puteri. Beliau dilantik sebagai Pemimpin dan seterusnya dari tahun 1973 hingga 1983, beliau dilantik sebagai Timbalan Ketua Pesuruhjaya Persatuan Pandu Puteri Malaysia. Selain itu, beliau juga telah memegang jawatan sebagai Pesuruhjaya Kebangsaan Kadet dan Kelab Renjer Puteri Persatuan Pandu Puteri Malaysia. Beliau adalah pengasas Kelab Renjer Malaysia dan Sahabat Sangam, Malaysia.

Puan Param telah berkhidmat sebagai Naib Pengerusi Jawatankuasa di Sangam (World Centre of WAGGGS) di Pune, India selama sembilan tahun. Ini melibatkan penyertaan beliau dalam beberapa persidangan dan latihan di negara-negara Eropah, United Kingdom, Amerika, Kanada dan Asia.

Beliau berpengalaman menganjurkan seminar, ralli, jambori dan persidangan di peringkat negeri, kebangsaan dan rantau Asia Pasifik. Di bidang kegiatan masyarakat, beliau turut aktif dalam kegiatan belia, Perkumpulan Wanita dan kerja-kerja amal kebajikan.

Di bidang politik, beliau menyandang jawatan Ketua Bahagian Wanita MIC Negeri Sembilan dari 1981 hingga 1987. Beliau pernah dianugerahkan bintang dan pingat PPT, AMN, PJK, PKL dan JP dari kerajaan Persekutuan dan Negeri. Sementara anugerah yang telah diterima dari Persatuan Pandu Puteri Malaysia ialah Pingat Jasa, Pingat Khidmat Lama dan Pingat Layang-Layang.

Pada masa ini Puan Saroja Param masih aktif dalam kegiatan-kegiatan sosial, kerja-kerja amal melalui kumpulan Sahabat Sangam, Sangam Malaysia dan Persatuan Bekas Murid Convent Seremban di mana beliau adalah Presiden kedua-dua pertubuhan tersebut.

Puan Param mementingkan keharmonian institusi keluarga dan beliau bersyukur kerana mendapat kasih sayang daripada enam orang anak-anak yang sentiasa memberi inspirasi dalam membina satu landasan teguh untuk membolehkan beliau bergerak lebih cergas dalam semua bidang yang diceburi demi kepentingan dan kesejahteraan keluarga, bangsa dan negara yang dicintai.

(Siapakah bakal penerima Anugerah Srikandi Pandu Puteri Persatuan Pandu Puteri Malaysia pada tahun 2004...? Kita nantikan kemunculannya.)