Demo

Anugerah Srikandi 2000

Biodata Penerima Anugerah Sri Kandi Persatuan Pandu Puteri Malaysia 2000

YB Datin Paduka Hajah Zaleha Bt Ismail, DPMS, SMS, KMN

YB Datin Paduka Hajah Zaleha adalah anak kelahiran Kuala Langat, Selangor. Beliau memulakan pendidikan awal di Sekolah Melayu Sungai Pelek dan mengakhirinya di Universiti Malaya pada tahun 1961.

Berbekalkan Ijazah Sarjana Muda Sastera dengan Kepujian, beliau memulakan kerjaya bersama Radio Malaya (1962-1968) sebagai Pembantu Rancangan dan seterusnya meningkat kepada Pengelola Rancangan Perkhidmatan Inggeris. Pada masa yang sama bertugas sebagai Pensyarah dan Tutor sambilan di Universiti Malaya. Pada tahun 1968 hingga tahun 1978 beliau bertukar ke Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai Pegawai Ensaiklopedia dan kemudian dinaikkan pangkat kepada Timbalan Ketua Bahagian Buku Pelajaran.

YB Datin Paduka Hajah Zaleha mula melibatkan diri dalam politik pada tahun 1968 sebagai ahli biasa UMNO hingga ke tahap ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia.

Wanita yang dinamik dan optimis ini berpegang teguh kepada prinsip Nothing is possible mempunyai cita-cita yang luhur iaitu menjadi seorang yang baik dan memberi khidmat serta sumbangan yang sebanyak-banyaknya sepanjang umur yang masih ada. Beliau sanggup bekerja bertungkus lumus dalam segala perkara yang diperjuangkan tanpa jemu, tidak pernah mengata  tidak  kepada setiap insan yang memohon pertolongan dan sentiasa berusaha untuk menyumbangkan masa, tenaga dan buah fikirannya kepada masyarakat.

Walaupun sibuk dengan sibuk dengan tugas sebagai Menteri, Datin Paduka terus melibatkan diri dalam hampir 42 persatuan sukarela untuk memajukan dan meningkatkan kualiti hidup masyarakat khasnya belia dan kaum wanita.

Atas segala baktinya, Datin Paduka telah dianugerahkan Bintang Seri Mahkota Selangor, Bintang Kasatria Mangku Negara dan Datuk Paduka Mahkota Selangor pada tahun 1979.

Dalam kesibukan bekerja beliau berjaya mendidik tiga orang anaknya sehingga lahir seorang doktor, seorang penolong pengurus dan seorang ahli perniagaan yang berjaya.


Dato Hajah Hendon Bt. Haji Din DPMS, JSM, AMN, PJK

Dato Hajah Hendon dilahirkan di Parit Buntar pada 24 Mac 1925. Kerjaya beliau bermula sebagai seorang guru, kemudian sebagai Guru Besar dan akhirnya Penyelia Sekolah-Sekolah Peremnpuan Melayu di Negeri Sembilan.

Selepas meninggalkan profesion perguruan, Dato  Hajah Hendon menceburi bidang perniagaan. Prinsip You must have your own confidence, never accept defeat until you succed. Money is not everything but it is an important thing  menjadikan beliau usahawan yang gigih sehingg berjaya menjadi Pengerusi Eksekutif Syarikat Zet Enterprise dan 21 buah anak syarikat lain.

Dalam bidang Pandu Puteri, Dato Hajah Hendon mula menceburkan diri sebagai ahli Pandu Puteri sejak berumur 13 tahun sehinggalah beliau dilantik menjadi Ketua Pesuruhjaya Pandu Puteri Malaysia pada tahun 1973 hingga 1983. Ketokohan beliau dalam Pandu Puteri terserlah apabila beliau dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Asia Pasifik dan diterima oleh Persatuan Pandu Puteri Sedunia (WAGGGS) menjadi ahli Olave Baden Powell Sociaty (OBPS). Pada tahun 2000, WAGGGS telah menganugerahkan Dato Hajah Hendon Woman with Outstanding Achiements Award.

Dato  Hajah Hendon banyak menyumbangkan masa, tenaga dan wang dalam pelbagai kerja amal. Perjuangan beliau dalam membentuk anak-anak gadis dan wanita yang berguna kepada bangsa dan negara tidak dapat disukat. Beliau telah dilantik ke Panel Juvenile Court dan sebagai ahli Senate selama empat tahun oleh Universiti Malaya.

Di samping kesemua tanggungjawab sosial yang dipikul, beliau adalah ibu yang pengasih, adil dan tegas kepada 13 orang anak. Anak-anak beliau berjaya dalam profesion masing-masing sebagai jurutera, hakim, arkitek, pensyarah, pakar runding, tokoh jururawat dan setiausaha syarikat.

Dato Hajah Hendon telah dianugerahkan Pingat Darjah Kebesaran Dato  Paduka Mahkota Perak oleh D.Y.M.M. Sultan Perak, Pingat Jasa Kebaktian dari Kerajaan Negeri Sembilan, Pingat A.M.N dan J.S.M oleh Kerajaan Malaysia. Sebagai penghargaan di atas sumbangan beliau dalam dunia pendidikan beliau dipilih sebagai Tokoh Guru Negeri Sembilan dan Tokoh JasaMu Dikenang Wilayah Persekutuan.


Puan Junie Simon, AMN

Puan Junie Simon dilahirkan pada tahun 1934 di Kuala Lumpur. Beliau telah memulakan kerjaya sebagai seorang guru pada tahun 1952 di Sekolah Menengah Bukit Bintang sehingga bersara pada tahun 1989 di sekolah yang sama.

Jikalau bidang perguruan menjadi profesion yang dilalui selama 37 tahun dengan gigih, Pandu Puteri pula menjadi saluran baginya mencurahkan masa dan tenaga sukarela tanpa jemu. Bermula sebagai pemimpin Pandu Puteri dengan pangkat Leftenan pada tahun 1955, beliau seterusnya dinaikkan kepada pangkat Kapten (1956), Pesuruhjaya Daerah Petaling (1960), Ketua Unit Renjer Puteri 1 Zon Pudu (1960), Penolong Pesuruhjaya Negeri Selangor (1963) dan Pesuruhjaya Negeri Wilayah Persekutuan bermula tahun 1988 hingga sekarang.

Sebagai seorang pemimpin, Puan Junie telah menunjukkan khidmat yang tulus dan sedia bekerja tanpa mengira masa dan tenaga. Beliau telah menggunakan ilmu dan kepakaran yang diperolehi daripada seminar dan bengkel yang dihadirnya sama ada di dalam mahupun di luar negara untuk diperturunkan kepada pemimpin dan ahli-ahli Persatuan Pandu Puteri di negerinya dan juga diperingkat kebangsaan melalui perkhemahan, projek Khidmat, perhimpunan, seminar dan latihan.

Walaupun sibuk dengan tugas sebagai guru, ketua pemimpin dan ahli Exco dalam Kor Wanita Kota beliau telah berjaya mendidik anak tunggalnya hingga berjaya menjadi seorang peguam.

Di atas segala jasa bakti yang dicurahkan, Persatuan Pandu Puteri Malaysia telah menganugerahkan Pingat Tangkai Padi, Pingat Jasa, Agok Bakti Lebah dan anugerah yang tertinggi iaitu Pingat Layang-Layang. Beliau juga merupakan penerima Anugerah 80 tahun Pandu Puteri. Pada tahun 1978, beliau telah dianugerahkan Pingat A.M.N.