Demo

Majlis Pengurniana Anugerah Pandu Puteri Diraja

Kepada

KDYTM TENGKU PUAN PAHANG TUNKU HAJAH AZIZAH AMINAH MAIMUNAH ISKANDARIAH BINTI AL-MUTAWAKKIL 'ALALLAH SULTAN ISKANDAR AL-HAJ, D.K.; D.K. (JOHOR); S.P.M.J.

25 Nov 2007

Ke Bawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Al-Mutawakkil 'Alallah Sultan Iskandar Al-Haj, telah diputerikan di Istana Bukit Stulang, Johor Bahru pada 5 Ogos 1960. Puteri ketiga Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor telah mendirikan rumah tangga dengan Ke Bawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Ibni Sultan Ahmad Shah pada 6 Mac 1996. Baginda berdua telah dikurniakan empat putera dan dua puteri.

Ke Bawah Duli Yang Teramat Mulia telah diputerikan dalam keluarga yang menekankan kecemerlangan pencapaian dalam pelbagai aspek kehidupan, merangkumi kemahiran domestik dan kesukanan, mencintai alam semula jadi, serta alam sekitar. Baginda amat prihatin terhadap pengekalan tradisi dan warisan serta sentiasa ingin berdamping bersama-sama rakyat berbilang lapisan. Maka tidak hairanlah Ke Bawah Duli Yang Teramat Mulia menjadi sumber ilham dan inspirasi serta "role model" rakyat ditambah pula dengan sokongan dan galakan daripada suami tercinta.

Anggapan bahawa Baginda yang diputerikan dalam sebuah keluarga aristokrat akan sentiasa berada dalam keadaan serba selesa adalah tidak tepat kerana KDYTM telah menggunakan segala pengetahuan, kemahiran, pengalaman dan status baginda untuk melibatkan diri dalam aktiviti dan projek yang amat bermakna.

Penglibatan KDYTM Tengku Puan Pahang dalam Pandu Puteri bermula apabila baginda menjadi ahli "Brownies" di sekolah rendah. Pada tahun 1983, Baginda bertemu dengan Ketua Pesuruhjaya Persatuan Pandu Puteri Malaysia ketika itu, Puan Nik Faizah Mustapha di suatu majlis di Johor. Baginda menyuarakan hasrat untuk memakai pakaian seragam Pandu Puteri. Namun, Puan Nik Faizah sebagai seorang yang dikenali dengan ketegasannya memberitahu baginda bahawa "Tuanku boleh memakai pakaian seragam tetapi tidak boleh memakai lencana-lencana. Sekiranya Tuanku ingin memakai lencana-lencananya, Tuanku perlu bekerja keras untuk memperolehnya."

Dari saat itu, bermulalah penglibatan baginda yang aktif dalam Pandu Puteri. Pada bulan Ogos 1984, KDYTM mencemar duli mengikuti kursus di Pusat Latihan Bina Semangat di Mersing, Johor. Semasa perkhemahan KDYTM mengambil bahagian dalam semua aktiviti termasuk menyusur bawah wayar berduri dan menjalankan tugasan kumpulan yang telah ditetapkan. Semasa kursus tersebut, KDYTM telah mengambil ujian Pra Persetiaan dan lulus.

Dalam tahun 1983, KDYTM dilantik sebagai Yang Di Pertua Pandu Puteri Daerah Johor Bahru. Selepas penghijrahannya ke negeri Pahang, KDYTM telah memegang jawatan Naib Yang Di Pertua Persatuan Pandu Puteri Cawangan Negeri Pahang. Penglibatan KDYTM di peringkat kebangsaan bermula pada tahun 1991 apabila KDYTM dilantik sebagai Pesuruhjaya Ibu Pejabat Bahagian Tugas-tugas Khas Persatuan Pandu Puteri Malaysia dan seterusnya sebagai Naib Yang Di Pertua sejak 1999 sehingga 2006 dan Timbalan Yang Di Pertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia dari tahun 2006 hingga kini.

Komitmen KDYTM terhadap Pandu Puteri semakin mendalam sehingga dianggap sebagai "Penyelamat Nyawa" Persatuan Pandu Puteri seperti yang tersiar dalam akhbar Daily Express(Sabah) bertarikh 3 Disember 1999.

"Whenever the association's kitty is in the red, she will come to its rescue. She is the chief fund-raiser when any Girl Guide building fund needs help".
- Daily Express, 3 December 1999

Sebagai Timbalan Yang Di Pertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia, KDYTM sentiasa melibatkan diri dengan aktiviti Pandu Puteri, termasuklah menyertai sepenuhnya Persidangan Dunia WAGGGS Ke-32 di Jordan pada Jun 2005, Perkhemahan Pandu Puteri Remaja Kebangsaan di Perlis pada Mac 2006, dan Persidangan Pesuruhjaya Tahunan pada tahun 2006 dan 2007.

Selain penglibatan KDYTM dalam kegiatan Pandu Puteri di Malaysia, Baginda juga salah seorang penyumbang dalam Olave Baden-Powell Society yang berpangkalan di Persatuan Pandu Puteri dan Pengakap Sedunia (WAGGGS).

Didikan teratur yang diterimanya sejak kecil menjadikan Baginda kini seorang teman hidup dan ibu dengan menekankan nilai-nilai sosial dan moral. Minatnya terhadap ilmu masakan telah membuahkan hasil dengan terbitnya beberapa buah buku masakan yang disusun rapi dalam masa beberapa tahun kebelakangan ini, hasil daripada kajian dan ujian teliti yang telah Baginda jalankan di semua pelusuk negeri Pahang.

Minat Baginda terhadap seni jahitan dan kraf pula dapat dilihat dengan penubuhan sebuah kedai kraf dan penubuhan "Stitches Club" dengan KDYTM sendiri menunjukkan cara menjahit suji bilang (cross stitch) di rumah-rumah ahli. Pengalaman pahit KDYTM dalam keinginan Baginda menimang cahaya mata pada peringkat sembilan tahun awal perkahwinan Baginda menimbulkan perasaan empati terhadap pasangan yang melalui pengalaman yang sama sehingga tertubuhnya TAFF, iaitu Tunku Azizah Fertility Foundation, penambahan kepadaIstana Abdul Aziz Foundation yang ada sebelum ini.

Penampilan KDYTM merupakan suatu aura yang unggul, Baginda sentiasa memaparkan imej sebagai ahli Kerabat Di Raja yang amat dicintai dan disanjungi rakyat, tanpa mengira ras, bangsa, agama, umur dan status sosial mereka.

Pada tahun 2005, KDYTM dilantik sebagai Penaung Di Raja Sahabat Asia Pasifik WAGGGS yang telah disempurnakan di Kuantan, Pahang.

Atas segala kurniaan KDYTM yang dicurahkan kepada Persatuan Pandu Puteri Malaysia, maka dengan bangganya Persatuan Pandu Puteri Malaysia menganugerahkan Anugerah Pandu Puteri Di Raja kepada Ke Bawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Al-Mutawakkil 'Alallah Sultan Iskandar Al-Haj pada 25 November 2007 di Majlis Makan Malam sempena Ulang Tahun Ke-90 Persatuan Pandu Puteri Malaysia.